Wednesday, May 4, 2016

Kisah Kopi & Ultraman

Seorang anak muda yang sedang serabut dengan pelbagai masalah bertemu dengan seorang tua yang merupakan seorang ahli hikmah.

x: "Pakcik saya ni banyak masalah...banyak..."

o: (Senyum) lalu berkata: "Wahai anak muda, ambil segenggam kopi dan segelas air." Anak mudah ini terus ke dapur mengambilnya. "Sekarang kamu campurkan, kacau perlahan-lahan dan minum. Apa rasanya?"

x: "Pahit pakcik. Sangat pahit! Tak boleh minum..." 

o: "Takpe. Mari sini ikut pakcik. Kita ke sebuah telaga." Mereka pun pergi. 

o: "Mana kopi tadi? Campakkan segenggam kopi dalam telaga ini dan kacau-kacaukan. Sekarang, cuba kamu minum, apa rasanya?" 

x: Anak muda itu pun buat. "Sedap air ni pakcik. Segar sekaali. Tak terasa pula kopi tadi."

"Wahai anak muda, dengar nasihatku ini. Betapa pahit pun kehidupan ini, ia sama saja seperti segenggam kopi. Tak lebih dan tak kurang. Jumlah dan rasa pahit itu adalah sama. Ia akan terus sama sampai bila-bila. Tetapi kepahitan yang kita rasa itu sangat bergantung kepada bekas yang kita miliki. Kepahitan itu didasarkan pada bekas yang diletakkan padanya. Di gelas tadi, sebab ia kecil, sudah pasti terasa pahitnya. Jumlah yang sama diletakkan di dalam telaga yang besar, tidak terasalah pahitnya. Justeru, lapangkanlah dada menerima segala masalah. Besarkan hatimu menerima kepahitan. InsyaAllah semua kepahitan itu akan terasa sedikit."

Dalam hidup kita seharian, banyak masalah yang sering kita hadapi. Masalah itu tak dapat dikecilkan, tetapi yang boleh kita lakukan adalah membesarkan wadah, 
besarkan hati menerima 'kopi pahit' itu tadi. Masalah akan kuasai hati yang kecil. Tetapi hati yang besar, sebesar mana pun masalah akan muat untuk ditampung. 

Sama juga sekiranya berada di dalam bilik air, nampak katak sahaja kita akan terus melompat takut. Tetapi jika kita berada di padang pasir dan ternampak seekor harimau, perasaan takut itu akan berkurang kerana keadaan padang pasir yang luas dan besar, cukup jauh untuk kita berlari menyelamatkan diri dari pak belang. 

Sebab itu bila berhadapan dengan masalah, jadilah seperti Ultraman. Semasa Ultraman bersaiz asal, dilihatnya raksasa sungguh besar. Raksasa itu tak dapat disumpah menjadi kecil. Lalu Ultraman sendiri berubah bentuk, bertukar menjadi besar, lebih tinggi dari raksasa. Akhirnya si Ultraman, hero kegemaran kanak-kanak seluruh dunia itu, berjaya menumpaskan musuh, tanpa pernah gagal! 

Justeru sahabat, dalam menghadapi masalah, ubah diri dan jiwa kita menjadi 'sebesar Ultraman'. Besarkan diri, jangan besarkan masalah. Masalah yang besar payah untuk dikecilkan. Jangan juga memperkecilkan masalah tetapi besarkan diri sendiri. Ramai orang yang berjaya, berjaya membesarkan diri mereka (bukan menjadi sombong), tetapi berjaya memandang masalah itu kecil hingga tidak mengganggu kehidupan.

Bersabarlah menghadapi dugaan. 

Kita hamba kesayangan Tuhan.... 


~ dari Segmen Motivasi Pagi bersama Alfadhil Ustaz Dato' Badlishah Alauddin @ Radio Ikim fm 91.5mhz 4 Mei 2016 ~

No comments:

Post a Comment