Kenali Tokoh

Tokoh 1 - Jalaluddin al-Rumi


Jalaluddin al-Rumi telah dilahirkan di Wakhsh (Tajikistan), daerah Balkh Afghanistan pada 30 September 1207 Masihi. Bapanya Bahauddin Valad merupakan seorang tokoh agama yang tersohor. Di bawah didikannya, Jalaluddin menerima pendidikan daripada Syed Burhanuddin. Ketika berumur 18 tahun, keluarga Jalaluddin menunaikan haji dan seterusnya berpindah ke Konya, Turki dan menetap di sana.
Ketika berumur 25, beliau telah dihantar ke Aleppo (Halab) untuk meneruskan pengajian dan seterusnya ke Damsyik. Jalaluddin al-Rumi meneruskan pengajiannya sehingga berumur 40 tahun. Walau bagaimanapun beliau telah menjadi seorang ‘professor’ di salah sebuah madrasah di Konya ketika berumur 24 tahun iaitu setelah kematian bapanya. Antara gurunya yang terkenal ialah Syed Burhanuddin dan Shamsuddin al-Tibriz. Beliau meninggal dunia di Konya pada tahun 672 Hijrah bersamaan 17 Disember 1273 Masihi setelah dikenali sebagai seorang maulana dalam tarikat kesufian.
Akhlak dan Peribadi
Maulana Jalaluddin al-Rumi mempunyai keistimewaan yang tersendiri serta memiliki akhlak dan peribadi yang mulia. Antara keistimewaan dan kehebatan yang dipamerkan oleh beliau ialah:
1) Tidak pernah selesa ketika tidur. Beliau tidak mempunyai bantal atau tilam untuk tidur, sebaliknya apabila terasa mengantuk beliau akan tidur di mana sahaja beliau sedang duduk. Beliau melakukan sedemikian agar beliau mudah ‘terjaga’ daripada tidur dan dapat menumpukan perhatian kepada ibadah dan berzikir kepada Allah SWT. Ini kerana beliau merasakan kehidupan di dunia hanyalah sementara sahaja,  justeru masa yang ada hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
2) Munajat. Sebaik sahaja tiba waktu solat fardhu, beliau serta-merta mengadap kiblat dengan penuh kekhusyukan. Beliau tidak lagi memikirkan segala urusan dunia. Beliau juga sentiasa bermunajat kepada Allah memohon keampunan daripadaNya.
3) Zuhud. Apa sahaja hadiah yang diterima daripada raja, pembesar atau hartawan akan disedekahkannya kepada orang lain. Beliau bersifat pemurah sehingga beliau tidak pernah mengecewakan seorang pengemis pun yang meminta bantuan daripadanya.
4) Rezeki yang halal. Beliau juga sentiasa berhati-hati agar tidak masuk dalam mulutnya sesuatu yang bersumberkan daripada yang haram. Ini kerana rezeki yang haram akan menyebabkan hati menjadi kotor, lantas akan lupa dan lalai daripada mengingati Allah.
5) Sumbangan / karya. Sumbangan beliau lebih tertumpu kepada bidang tasawuf. Beliau banyak menghasilkan puisi yang berunsur kesufian. Karyanya yang paling masyhur dikenali sebagai ‘Mathnawi’ yang menghimpunkan banyak puisi kesufian dan perbincangan agama. Kitab Mathnawi ini terdiri daripada enam kitab (bahagian) puisi dan ia mempunyai kekuatan sehinggakan pembacanya akan dapat merasai kebahagiaan dan kelazatan spiritual yang hebat. Karya ini dihasilkan dalam tempoh empat puluh tiga tahun. 
Karya Maulana Jalaluddin al-Rumi juga begitu mendapat tempat di barat. Justeru, boleh dikatakan ketika ini hampir kesemua karyanya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Profesor Arberry telah memujinya dengan berkata: ‘Beliau merupakan penyair mistik terbesar dalam sejarah manusia’. 
Beliau meninggal dunia pada 5 Jamadilakhir 672 Hijrah. Ramai orang menangis ketika perarakan jenazahnya. Orang Yahudi dan Kristian turut serta dalam perarakan jenazah itu. Apabila ditanya oleh gabenor Konya mengapakah mereka ingin turut serta, mereka menjawab bahawa mereka telah menemui pada peribadinya segala tanda dan ciri para nabi yang tersebut dalam kitab-kitab mereka. Selain itu, mereka juga dapat mempelajari daripada al-Rumi sifat para wali dan orang soleh yang tidak diketahui oleh mereka selama ini.
Artikel lengkap di http://www.yadim.com.my/v2/?p=25103 ( Sumber asal daripada http://www.ustazshauqi.com/)


No comments:

Post a Comment